Sunday, November 24, 2013

Harapan Ikhlas Dari Saya...

Hari ini, sudah 2 bulan satu hari saya tak update blog saya. Saya bercadang untuk update semalam tetapi semalam hari saya dipenuhi dengan 2 jemputan kenduri kahwin, mesyuarat dengan PTS untuk persiapan karnival Maulidur Rasul MBI dan di sebelah malamnya pula, anak saudara sekeluarga datang ziarah di rumah.

Sudah tentu keputusan pemilihan Pas menjadi fokus kepada tulisan saya kali ini.

Saya berehat menulis di blog inipun sebabnya untuk tidak mahu terjebak dalam suhu kempen pemilihan yang kelihatannya agak panas. Namun saya ada juga menulis sikit-sikit di facebook yang mana capaiannya agak sedikit sahaja. Selain dari itu saya ingin menjaga hati kawan-kawan di Ampang ini yang mungkin tidak sealiran dengan pemikiran saya. Hehehe....

Namun semuanya telah selesai hari ini dengan keputusannya sudah semua orang tahu. Bak kata orang tua-tua, airpun sudah mengalir di bawah titian dengan lancar. Tiada apa lagi yang kita perlu keluh kesahkan. Terimalah keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan dengan hati yang terbuka.

Cuma saya ingin memberikan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti di bawah kemudi TGNA dan TGHA dalam masa yang terdekat ini:

 1. Jawatan-jawatan Lantikan:

a. Jawatan Ketua Penerangan PAS. Saya mencadangkan Datuk Mahfuz Omar dilantik ke jawatan tersebut kerana kebolehan beliau berhadapan dengan media selama ini amat memberangsangkan.

Pas dalam era moden ini perlu kepada seorang yang mempu menangani persepsi arus perdana terhadap parti. Kita perlu seorang berpengalaman, pantas dan tangkas dalam gerak kerja.

Saya melihat banyak isu-isu negara dan parti dalam era yang lalu boleh diatasi jika ketua penerangan dapat memainkan peranan yang effektif.

b. Jawatan Pesuruhjaya Negari. Jawatan-jawatan ini perlulah diamanahkan kepada mereka yang mempunyai visi dan faham dengan sensitiviti negeri masing-masing.

Mereka wajib menyampai dan melaksanakan polisi parti yang telah dipersetujui di peringkat pusat ke negeri masing-masing dengan effektif sekaligus juga membawa permasalahan negeri ke peringkat pusat untuk diselesaikan segera. Jangan bertangguh-tangguh dalam membuat keputusan. Belajarlah dari peristiwa Kedah.

2. Sabah dan Sarawak:

Saya pernah menulis Sabah Dan Sarawak Macamana? pada tahun 2009. Ketika merasmikan Muktamar Muslimat kali ini YB Husam Musa juga menyentuh soal yang sama.

Suka atau tidak, 25% dari keseluruhan kerusi Parlimen Malaysia adalah dari 2 negeri Malaysia Timur tersebut. Pakatan Rakyat melalui DAP dan PKR sudah mula membuat inroad dengan memenangi beberapa kerusi di sana tetapi parti kita masih menemui jalan buntu.

Saya mencadangkan satu usaha yang serius dapat dilakukan untuk memperkasakan Pas Sabah dan Sarawak.

Satu jawatankuasa khas dari pusat mestilah diarahkan untuk mengenalpasti, mencari jalan dan seterusnya melaksanakan apa-apa jua langkah yang diputuskan oleh  jawatankuasa tersebut.

Saya mencadangkan YB Husam Musa dilantik sebagai ketua jawatankuasa tersebut memandangkan kebolehan beliau dari segi strategi, kebolehan menarik sokongan dan seterusnya keupayaan melahirkan idea-idea baru bagi menembusi kubu-kubu yang kebal di dua negeri tersebut. Beliau mestilah dibantu oleh kepimpinan pemuda, muslimat, AJK Pas Pusat dan negeri untuk misi 4 tahun dari sekarang ini.

3. Dewan Pemuda:

Tahniah kepada Sdra Suhaizan Kayat kerana telah terpilih menerajui Dewan Pemuda Pas Pusat. Sebenarnya harapan saya kepada beliau amat tinggi kerana era sebelum ini terus terang saya katakan Pemuda Pas agak ketinggalan jika dibandingkan dengan PKR, DAP mahupun Umno dalam menunjangi isu-isu besar negara.

Dalam keadaan UMNO mandom sekalipun, kita tidak 'sieze the opportunity' kata orang Tepen dan dalam banyak hal juga, PKR dengan barisan kepimpinan seperti Rafizi, Nurul Izzah dan Nik Nazmi serta DAP dengan ketangkasan Tony Pua, Anthony Loke dan Liew Chin Tong jauh lebih ke hadapan.

Saya akui dari barisan exco pemuda yang dipilih ramai daripadanya adalah daripada aliran kepimpinan lepas tetapi bak kata TGNA ketika Umno menwarkan 5 jawatan menteri kepada PAS jika bersetuju berUG dengan mereka, "Buat apa sampai 5 menteri? Bagi satupun cukup. Tapi jawatan Perdana Menterilah!"

Begitulah Sdra Suhaizan Kayat. Saudara adalah ketua. Bila saudara jadi ketua, berfungsilah dengan baik. Mintalah nasihat dari pemimpin tertinggi dalam masa yang sama rujuk juga kepada mantan-mantan KP yang berwibawa sebelum ini seperti Tok Pa, Datuk Mahfuz dan Salahuddin. Ketika mereka era pemuda cemerlang.

Selamat berjuang!! Ingat Saudara, lebih 50% pengundi berdaftar adalah di bawah usia 40 tahun.

4. Dewan Ulamak:

Saya suka melihat Dewan Ulamak kalau boleh lebih ke hadapan di dalam persada arus perdana politik negara. Saya bayangkan Ustaz Harun Taib, Ustaz Haron Din, Ustaz Nik Zawawi Salleh, Ustaz Mokhtar Senik, Ustaz Khairuddin At-Takiri dan lain-lain yang berauthority berdialog dengan pihak gereja. Muncul di dalam forum-forum anjuran Sinar, portal-portal TV alternatif dan berhadapan dengan audience multi-racial dan multi-religion. Mereka perlu sentiasa bersedia dan berani menjawab soalan-soalan yang sukar mempertahan dan menonjolkan pendirian parti.

Sekarang ini tugas sukar dan mencabar tersebut sentiasa dipikulkan ke bahu YB Dr. Mujahid Yusof Rawa, YB. Khalid Samad dan Dr. Dzulkefly Ahmad. Sudah sampai masanya mereka mengembeleng tenaga dengan 3 tokoh ini dan sekaligus penghoramatan kepada Dewan Ulamak pastinya akan melonjak tinggi.

5. Dewan Muslimat:

Separuh kalau tidak lebih pengundi yang berdaftar dengan SPR pada tahun 2012 adalah terdiri dari golongan wanita dari pelbagai lapisan kaum dan agama.

Wah! Besar sungguh tugasan dan tanggungjawab yang menanti YB Siti Zailah Yusof dan barisan exconya.

Saya tidak pasti jika semuanya hanya diletakkan ke bahu beliau tetapi strategi-strategi baru yang ampuh mestilah digarab dari sekarang untuk memastikan sokongan kepada parti dan Pakatan Rakyat akan lebih kuat pada PRU14 akan datang.

Kemunculan Ameerah Malaysia mestilah diambil peluang sepenuhnya untuk menarik anak muda kepada perjuangan Pas. Mereka saya lihat sebagai satu nafas baru untuk menandingi Puteri Umno yang semakin luntur itu.

Akhirnya saya mengharapkan, apa jua perbedaan pendapat sepanjang pemilihan baik di kalangan pemimpin mahupun ahli dapat dilupakan sebaik sahaja muktamar ini berakhir. Perbedaan pendapat boleh bertukar menjadi hikmah kepada perjuangan kalau kita ikhlas dalam usaha menegakkan islam di negara kita. Ambillah contoh persahabatan di kalangan pemimpin-pemimpin yang kita kasihi ini sebagai pedoman dan approach kita dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua.

Seeru 'ala barakatillah... Takbir!!
 

4 comments:

smp said...

selagi ketua dewan ulama disandang oleh harun taib ke UG la fikirannya

Anonymous said...

Saya rasa Dewan Ulamak ini perlu kepada pemimpin baru yang lebih dinamik. Saya cadangkan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pok Li said...

Saya juga menginginkan golongan Ulamak kedepan dalam menangani isu2 semasa. Saya bayangkankan Ulamak2 dan Ustaz2 terutamanya yang muda dapat kedepan membicarakan isu2 ekonomi, berdebat dengan UMNO/BN seperti yang dilakukan Rafizi, Nurul Izzah, Tony Pua dll. Barulah Islam gerakan menyerlah dan menyakinkan.

abuamir said...

Ulamak sepatutnya kehadapan utk berdakwah kpd bukan Islam bukannya menakutkan mereka dgn Islam. Berikan kefahaman ttg Islam sebenar bukannya menakutkan mereka dgn hukum hudud dll.

Dewan Ulamak jgn terikut dgn perangai mufti2 dan ustaz2 umno yg salah dlm menyampaikan Islam. Tarik mereka kpd kemurnian serta kebaikan Islam.

Jika tidak mahu memperjuangkan Islam janganlah menyusahkan jemaah yg memperjuangkan Islam.